Select Page

Betul ke tarikh PRU15 buat ramai orang terkejut?

Siapa sangka, teka teki rakyat berhubung dengan tarikh mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini akhirnya terjawab.

Setelah rakyat dikejutkan dengan keputusan pembubaran parlimen yang lepas, kini sekali lagi, berita yang diterima mengenai tarikh pengundian pilihan raya telah menimbulkan kerisauan banyak pihak.

Ada yang tidak sabar untuk mengundi para pemimpin baru, malah ada juga yang risau dengan keadaan yang bakal menimpa negara.

Mana tidaknya, tarikh pengundian kelak dikatakan jatuh pada musim tengkujuh di kebanyakan tempat. Masing-masing mengeluarkan pandangan dan pendapat tersendiri mengenai keputusan ini.

Jadi, adakah kita akan mengundi ketika situasi banjir melanda negara?

Wallahualam.

Tarikh-tarikh Penting PRU15

Untuk anda yang masih tidak tahu, tarikh-tarikh penting #PRU15 yang diumumkan oleh SPR adalah seperti yang berikut;-

  • Tarikh Keluar Writ : 20 Oktober 2022
  • Penamaan Calon: 5 November 2022
  • Undi Awal: 15 November 2022
  • Hari Pengundian: 19 November 2022

Seperti yang kita semua tahu, landskap politik tanah air telah menjadi kucar-kacir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas. Ianya selepas negara menyaksikan kepimpinan yang diterajui oleh tiga perdana menteri daripada tiga pakatan berlainan sepanjang penggal Parlimen ke-14.

Sejak itu, sedikit sebanyak kepercayaan rakyat kepada sang pentadbir semakin pudar dari hari ke hari. Semuanya disebabkan oleh kedudukan kerajaan yang mentadbir diibaratkan seperti telur dihujung tanduk.

Kini, kerusi nombor satu negara itu sekali lagi menjadi kerusi “panas” sejurus selepas PRU14 pada 9 Mei 2018 yang lepas.

Uniknya pada PRU15 kali ini, penyertaan pengundi baharu terutamanya golongan muda berusia 18 tahun telah meningkatkan keterujaan pilihan raya. Kalau diikutkan, ia adalah kali pertama suara golongan muda ini diperdengarkan dalam sistem pentadbiran negara.

Siapa tahu sesuatu yang besar sekali lagi akan terjadi?

Proses Penetapan Tarikh Pilihan Raya

Memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), moleklah kiranya jika kita mengambil tahu tentang bagaimana proses penetapan tarikh pilihan raya ini ditetapkan.

 

Dalam tempoh 60 hari

1. Perdana menteri akan mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.

2. Pihak SPR akan bermesyuarat khas untuk menentukan Tarikh Penamaan Calon dan diteruskan dengan tempoh berkempen selama 10-14 hari. Ia kemudian diteruskan dengan proses Undi Awal dan Hari Mengundi.

3. Selepas itu, SPR akan mengeluarkan writ kepada semua Pegawai Pengurus bagi setiap bahagian pilihan raya.

– kempen pilihan raya

– hari pengundian

– keputusan pilihan raya

 

Dalam tempoh 60 hari selepas itu

1. Penubuhan Kerajaan Persekutuan & Kerajaan Negeri

– ia di mana berlakunya Pengumuman Jemaah Menteri

2. Persidangan parlimen

3. Persidangan dewan undangan negeri

 

PROSES PILIHANRAYA

Seperti yang telah dipaparkan di dalam gambar di atas, proses pilihan raya akan melalui beberapa proses penting yang akan melibatkan pelbagai individu dan organisasi.

1. Pembubaran Dewan Rakyat

2. SPR Mendapat Makluman Daripada Speaker

– Maka dengan ini, dalam masa tidak kurang 4 hari dan tidak lebih 10 hari, pihak SPR akan mengadakan sebuah mesyuarat khas berhubung pilihan raya.

3. Mesyuarat khas SPR

– Melalui mesyuarat ini, beberapa perkara penting akan diputuskan seperti tarikh hari penamaan calon, tarikh hari mengundi awal dan tarikh sebenar hari PRU. Jadi, maklumat-maklumat ini telah dinyatakan diatas.

4. Writ dikeluarkan

– Ia adalah sebuah surat kuasa yang dikeluarkan oleh SPR agar melaksanakan pilihan raya jika berlaku kekosongan di sesuatu tempat.

 

5. Notis dikeluarkan

– Notis ini dikeluarkan adalah bagi mempelawa calon yang berkelayakan bagi mengisi setiap kekosongan kerusi yang tersedia.

6. Penamaan calon

– Calon yang ingin bertanding perlu hadir bersama pencadang dan penyokong bagi menyerahkan kertas penamaan calon.

7. Kempen

– Calon mula berkempen bermula pilihan raya diumumkan sehingga jam 12 tengah malam sebelum hari mengundi.

8. Pengundian awal

– Pengundian ini akan melibatkan anggota tertentu seperti polis, tentera dan pasangan serta PGA dan pasangan. Ia akan dijalankan dalam tempoh tidak kurang 3 hari sebelum Hari Mengundi yang sebenar.

9. Hari mengundi

– Para pengundi yang telah berdaftar perlu mengundi calon pilihan mereka yang sedang bertanding.

10. Keputusan diumumkan

– Setelah tamat sesi mengundi, pengiraan jumlah undi akan dijalankan oleh indivividu bertanggungjawab. Selepas itu, keputusan pilihan raya akan diumumkan bagi menentukan pihak yang layak memegang jawatan dan berkuasa terhadap kerajaan baru.

Begitulah proses pilihan raya yang perlu dijalankan pada setiap kali parlimen dibubarkan.

Untuk anda yang telah layak mengundi, marilah bersama-sama menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Jangan hanya galak mengulas tentang tanggungjawab dan keputusan pihak berkuasa, jika anda sendiri tidak bersama turun mengundi.

Keputusan tentang siapa pihak yang layak, ada di tangan kita. Jadi, jom turun mengundi!