Select Page

Dah lama cari resipi rendang daging yang paling mudah dan ringkas?

Resipi rendang tidak asing lagi untuk dijadikan sebagai menu utama bagi pelengkap hidangan. Bagi admin, menu ini sangat sedap dan mempunyai aroma yang sangat harum kerana ia menggunakan bahan-bahan herba dan rempah yang dikisar halus dan masak hingga sempurna.

Menu ini juga sering dijadikan makanan sampingan yang boleh dimakan bersama lemang, pulut atau lempeng dan dibawa ke pejabat atau majlis rumah terbuka untuk dikongsi bersama. Pastinya sekejap sahaja licin. Ia juga merupakan lauk utama yang sering dinantikan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Haa, Hari Raya Aidilfitri dah tak lama je lagi ni.

Tapi sayang, ramai yang masih tidak tahu cara memasaknya kerana menganggap menu ini sangat rumit dan menggunakan bahan yang banyak. Sebenarnya ia bergantung kepada cara dan juga pengolahan kita.

Haa jom kita lihat Resipi Rendang Daging yang lebih mudah dan ringkas ini. Anda boleh sahaja menggunakan bahan yang sedia ada di rumah.

RESIPI RENDANG DAGING
Oleh: Bandar Baru Bangi Community

 

BAHAN A:

  • 7 biji bawang merah sederhana besar
  • 9 ulas bawang putih
  • Sedikit lengkuas
  • 2 inci halia
  • 2 inci kunyit hidup
  • 6 batang serai

BAHAN LAIN:

  • 2 kg daging
  • 2 senduk cili kering yang telah dikisar
  • 500 ml santan
  • Kerisik
  • Daun kunyit
  • Daun limau purut
  • Asam keping
  • Gula melaka
  • Gula pasir
  • Garam

CARA PENYEDIAAN RESIPI RENDANG DAGING:

  1. Kisar bahan A seperti bawang merah, bawang putih, lengkuas, halia, kunyit hidup dan serai sehingga hancur dan halus.
  2. Panaskan minyak dan masukkan bahan A yang telah dikisar ke dalam kuali dan masukkan cili kering.
  3. Masukkan daging yang telah dipotong dan dibersihkan ke dalam kuali dan kacau rata.
  4. Biarkan seketika sehingga daging kelihatan masak empuk dan masukkan pula santan.
  5. Sentiasa kacau lauk supaya santan tidak berketul dan letak api pada tahap sederhana dan tidak terlalu kuat.
  6. Masukkan kerisik dan daun kunyit yang telah dihirs kecil.
  7. Kacau masakan dan masukkan daun limau purut bersama asam keping.
  8. Masukkan garam dan sedikit gula melaka dan gula pasir mengikut citarasa.
  9. Tunggu sehingga masak dan masakan sedia untuk dihidang bersama nasi putih dan jus oren.

Tips Masak Rendang:

Ha kalau anda nak tahu salah satu tips untuk jadikan hidangan rendang ni jadi lebih sedap dan mengiurkan adalah dengan melebihkan penggunaan bawang dan juga santan di dalam masakan. Selain itu, anda juga boleh cuba menggunakan santan segar berbanding santan kotak untuk dapatkan rasa yang lebih sedap dan berlemak.

Anda juga mungkin meminati: Resipi Ayam Masak Kicap Paling Mudah