Warga Bangi dan para penderma darah sekalian, ada yang dah tahu ke tentang ciri baru di MySejahtera?
Katanya, ia semakin memudahkan urusan pelbagai pihak terutamanya dalam urusan pendermaan darah. Admin sendiri rasa excited dengan features baru ni. Yelah mana taknya, sekarang kalau pergi jalan mana-mana atau merantau jauh dalam negara pun dah tak berkira-kira nak derma darah.
Tak perlu lagi nak pastikan yang buku merah ada, baru boleh derma darah. Sebab sekarang, buku merah pun dah ada secara online tau guys!
Haa, itulah dia features atau ciri baru yang diusahakan dalam platform kesihatan kita iaitu aplikasi MySejahtera.
Admin percaya, hampir semua orang sudah ada aplikasi MySejahtera dalam telefon atau peranti mudah alih masing-masing, kan?
Haa ambil telefon anda sekarang dan cuba semak, ada atau tidak ruangan kad penderma darah digital pada aplikasi anda semua. Tak tahu bagaimana caranya?
Jangan risau, caranya mudah sahaja!
- Pastikan anda sudah memuat turun aplikasi MySejahtera
- Tekan butang ‘profile’ pada bahagian bawah aplikasi
- Skrol bawah laman ‘profile’ anda sehingga menjumpai kad digital berwarna merah yang bertajuk ‘Blood Donor Card’
- Teliti segala maklumat yang sudah tersedia
Berikut adalah antara maklumat yang akan dinyatakan pada ruangan ‘Blood Donor Card’ anda:-
- Nama
- Nombor ID
- Jenis darah
- Jumlah derma darah
- Keistimewaan diperoleh
Jika anda tidak mempunyai ‘Blood Donor Card’ seperti yang telah dinyatakan di atas bermaksud anda tidak pernah menderma darah atau tempat yang pernah anda kunjungi sebelum ini tidak menggunakan sistem Blood Bank Information System (BBISV2).
Buat anda yang sudah berumur 17 tahun ke atas dan sudah mempunyai berat badan melebihi 45 kg, molek kiranya jika anda merebut peluang untuk menderma darah.
8 makanan bagus untuk ibu hamil
Kalau anda nak tahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini telah memperuntukkan beberapa keistimewaan kepada penderma darah yang berwarganegara Malaysia untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat menderma.
Antara contoh kelebihan yang mungkin anda peroleh adalah:-
- rawatan percuma untuk pesakit luar
- percuma wad kelas satu untuk 10 tahun
- percuma wad kelas kedua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu
Jadi, tunggu apa lagi?
Jom lah menderma!
Namun begitu, ciri ini hanya tersedia dalam versi IOS sahaja manakala versi Android akan menyusul tidak lama lagi.
Di samping keistimewaan yang anda peroleh ini, menderma darah juga akan mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser, mengurangkan kalori dalam badan serta memberikan kecergasan apabila sel darah baharu dijana selepas menderma darah.
Menarik, bukan?
Ketahuilah bahawa, bagi setiap 43 saat, satu beg darah akan diperlukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit.
Jadi darah anda itu penting dan sangat diperlukan untuk kegunaan bagi aktiviti pembedahan, merawat pesakit barah atau jantung, membantu mangsa kemalangan dan sebagainya.
Bayangkan saja, satu beg darah anda itu mampu untuk menyelamatkan nyawa 3 orang pesakit yang berbeza. Betapa besarnya sumbangan anda kepada masyarakat?
Kesimpulannya, segala inisiatif sentiasa dihasilkan bagi memastikan rakyat menerima kelebihan dan manfaat dari setiap sumbangan yang telah diberi. Memandangkan aplikasi MySejahtera semakin ditinggalkan, kini, features dan ciri baru telah diusahakan bagi mengaktifkan semula penggunaan platform kesihatan itu dalam kalangan masyarakat.
Dapatkan lebih banyak info menarik mengenai Bandar Baru Bangi Community di laman ini.
Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan dan isu terkini Bandar Baru Bangi Community di laman facebook kami.